YES Sales 2024! Click Here for more info.

Your cart is currently empty.

Siapa Wali Anda? Ketahui Rukun Nikah untuk Elak Pernikahan Tidak Sah

October 2024 | Azhar Azmi

Assalamualaikum bakal pengantin!

Merancang nak kahwin dalam masa terdekat, tapi masih confused tentang Rukun Nikah? Don't worry sebab PP Signature ada guide lengkap untuk korang.

Sebagai butik pengantin yang dah berpengalaman lebih 10 tahun di Kajang, kami faham betapa pentingnya untuk memahami setiap aspek pernikahan dalam Islam, terutamanya Rukun Nikah.

 

Akad Nikah Sempurna: Rukun Nikah dan Syarat Sah untuk Bakal Pengantin

 

Maksud Nikah

Nikah atau perkahwinan mempunyai beberapa makna secara literal. Pertama, ia bermaksud bersatu (al-dhamm) dan bercantum (al-jam’), menggambarkan kesatuan antara dua pihak.

Dari sudut fiqh, nikah merujuk kepada sejenis akad. Akad ini menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan dengan rukun serta syarat tertentu. Lafaz yang digunakan adalah nikah, tazwij, atau terjemahan kedua-duanya.

Secara keseluruhan, definisi ini menggambarkan akad perkahwinan. Ia menyatukan lelaki dan perempuan, membolehkan mereka saling mengambil manfaat dan bercinta dalam kehidupan berumah tangga.

 

Apa Itu Rukun Nikah & Mengapa Ia Sangat Penting?

Selanjutnya, Rukun Nikah adalah satu set syarat dan elemen asas yang mesti dipenuhi. Dengan memenuhi rukun ini, kita dapat menjamin keabsahan sesuatu perkahwinan dalam Islam.

Selain itu, rukun ini bukan sahaja memastikan perkahwinan sah dari segi agama, tetapi juga membantu memupuk kebahagiaan dan keharmonian dalam kehidupan berkeluarga. Dengan memahami rukun ini, bakal pengantin dapat mempersiapkan diri untuk menjalani hidup berumah tangga yang lebih baik.

 

Tips Memilih Dulang Hantaran & Barang Wajib Dalam Hantaran

 

Rukun Nikah Ada Berapa?

Rukun Nikah ada 5 kesemuanya iaitu:

1. Pengantin Lelaki (Bakal Suami)

Antara syarat yang perlu dipenuhi oleh seorang bakal suami:

  • • Mestilah Beragama Islam
  • • Baligh dan berakal
  • • Tidak mempunyai 4 orang isteri yang sah dalam satu masa (termasuk jika telah bercerai tetap masih dalam idah).
  • • Bukan mahram kepada pengantin perempuan (Bakal Isteri)
  • • Tidak dalam ihram haji/umrah
  • • Kahwin secara sukarela tanpa paksaan menurut hukum syarak.
  • • Sah kelelakiannya.

 

2. Pengantin Perempuan (Bakal Isteri)

Bagi bakal isteri pula hendaklah mempunyai syarat-syarat berikut :

  • • Beragama Islam atau Ahli Kitab
  • • Bukan mahram kepada pengantin lelaki (Bakal Suami)
  • • Tidak dalam ihram haji/umrah
  • • Bukan isteri orang atau dalam iddah suami terdahulu.
  • • Sah kewanitaannnya.

 

3. Wali

Untuk menjadi wali nikah, seseorang itu mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

  • • Beragama Islam
  • • Lelaki
  • • Baligh
  • • Berakal
  • • Merdeka
  • • Adil
  • • Tidak berihram haji atau umrah
  • • Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
  • • Tidak fasik, kafir, atau murtad
  • • Tidak muflis atau ditahan kuasa atas hartanya
  • • Waras- tidak cacat akal fikiran atau gila.

 

4. Dua Orang Saksi

Syarat-Syarat Sah Nikah Buat Saksi:

  • • Beragama Islam
  • • Lelaki
  • • Baligh
  • • Berakal
  • • Adil (tidak melakukan dosa besar)
  • • Sejahtera pancaindera (tidak buta, pekak, dan bisu)
  • • Memahami bahasa yang digunakan dalam lafaz Ijab dan Qabul

 

5. Lafaz Ijab dan Qabul

Ijab dan qabul adalah istilah yang sering digunakan dalam konteks akad nikah. Untuk memastikan pernikahan anda sah menurut hukum syarak, terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi.

Syarat-syarat ini terbahagi kepada dua bahagian:

  • • Syarat Sah Ijab
  • • Syarat Sah Qabul

 

Syarat Sah Ijab

Berikut adalah syarat-syarat yang perlu ada untuk ijab:

  • • Lafaz yang Jelas: Pernikahan harus diucapkan dengan lafaz nikah atau perkataan lain yang membawa maksud yang sama. Lafaz ini haruslah jelas dan tepat.
  • • Tanpa Tempoh: Tidak boleh ada sebutan tentang tempoh masa tertentu, seperti dalam nikah kontrak atau nikah mutaah.
  • • Tanpa Taklik: Ijab tidak boleh disertai dengan sebarang prasyarat yang disebutkan semasa lafaz akad.
  • • Elakkan Kiasan: Gunakan perkataan yang langsung dan tidak berkias atau menyindir.
  • • Dilafazkan oleh Wali: Lafaz ijab perlu diucapkan oleh wali atau wakilnya.

 

Syarat Sah Qabul

Syarat-syarat untuk qabul pula adalah seperti berikut:

  • • Sesuai dengan Ijab: Lafaz qabul harus sesuai dengan lafaz ijab.
  • • Jelas dan Nyata: Lafaz qabul mesti diucapkan secara jelas, tanpa kiasan.
  • • Dilafazkan oleh Suami: Lafaz ini perlu diucapkan oleh calon suami atau wakilnya jika ada sebab tertentu.
  • • Tiada Ikatan Masa: Tidak boleh ada sebarang sebutan yang mempunyai batasan waktu.
  • • Tanpa Taklik: Lafaz tidak boleh disertai dengan sebarang prasyarat.
  • • Sebut Nama Calon Isteri: Nama calon isteri harus disebut dalam lafaz.
  • • Tiada Gangguan: Lafaz tidak boleh diselangi dengan perkataan lain.

 

Nak tengok contoh lafaz yang betul? Lihat artikel kami tentang Prosedur Akad Nikah Beserta Contoh Lafaz.

 

Rukun Nikah untuk Janda

Sebenarnya, tidak ada perbezaan dalam rukun nikah antara janda dan anak dara. Keduanya perlu memenuhi semua rukun nikah yang ditetapkan.

Namun, sering timbul kekeliruan dalam masyarakat mengenai salah satu rukun nikah bagi janda, iaitu berkaitan dengan wali.

Wali adalah salah satu rukun nikah yang paling kompleks. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa perkahwinan seorang wanita tanpa wali adalah tidak sah dan terbatal.

 

Oleh itu, penting untuk memahami jenis-jenis wali dan peranan mereka dalam proses pernikahan.

 

Siapa Wali Anda?

Jenis-Jenis Wali

Wali adalah individu lelaki yang bertanggungjawab untuk memberi keizinan dan mewalikan perkahwinan pengantin perempuan. Kepentingan wali dalam Islam mencerminkan tanggungjawab keluarga dalam memastikan kebajikan dan kebahagiaan pengantin perempuan terpelihara.

  • • Wali Mujbir: Merujuk kepada bapa dan datuk sebelah bapa pengantin perempuan. Mereka memiliki kuasa penuh dalam mewalikan perkahwinan anak perempuan mereka, selagi ia dilakukan tanpa paksaan dan mengikut hukum syarak.
  • • Wali Aqrab: Wali terdekat yang berhak jika wali mujbir tidak ada atau tidak dapat mewalikan. Susunan ini mengikuti hierarki keluarga terdekat seperti saudara lelaki kandung atau saudara lelaki sebapa.
  • • Wali Ab’ad: Apabila tiada wali mujbir atau wali aqrab, wali ab’ad atau wali yang lebih jauh dalam susunan keluarga boleh mewalikan perkahwinan. Contohnya termasuk bapa saudara sebelah bapa atau anak lelaki bapa saudara sebelah bapa.
  • • Wali Hakim: Wali yang diberi kuasa oleh pihak berkuasa negeri, seperti jabatan agama atau pemerintah, untuk mewalikan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab, atau wali yang enggan mewalikan tanpa sebab munasabah.

 

Susunan Wali

Susunan wali mengikut tertib adalah seperti berikut (dari yang paling layak):

  1. Bapa kandung
  2. Datuk sebelah bapa dan keatas
  3. Adik beradik lelaki seibu sebapa
  4. Adik beradik lelaki sebapa
  5. Anak saudara lelaki seibu sebapa
  6. Anak saudara lelaki sebapa
  7. Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu sebapa
  8. Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa
  9. Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa
  10. Bapa saudara sebelah bapa sebapa
  11. Datuk saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan datuknya
  12. Datuk saudara sebelah bapa sebapa dengan datuknya
  13. Moyang saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan moyangnya
  14. Moyang saudara sebelah bapa sebapa dengan moyangnya
  15. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (sepupu lelaki)
  16. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa (sepupu lelaki)
  17. Cucu lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa
  18. Cucu lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa
  19. Anak datuk saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan datuknya
  20. Anak datuk saudara sebelah bapa sebapa dengan datuknya
  21. Wali hakim / Raja / Sultan

 

FAQ Rukun Nikah

 

Apakah dimaksudkan dengan adil?

Adil merujuk kepada sifat seseorang yang memenuhi tanggungjawab dengan jujur dan amanah, tanpa sebarang kecenderungan atau sikap berat sebelah. Dalam konteks wali, seseorang yang adil tidak melakukan dosa besar dan berusaha menjauhi dosa kecil. Ini penting untuk memastikan keputusan yang diambil adalah demi kebaikan pengantin perempuan.

 

Adakah Wali Fasik Sah Menjadi Wali?

Tidak, wali fasik (seseorang yang melakukan dosa besar secara terbuka) biasanya tidak sah menjadi wali dalam pernikahan. Ini kerana peranan wali memerlukan integriti dan tanggungjawab untuk memastikan perkahwinan berlangsung mengikut syariat Islam.

 

Sebab utama menggunakan wali hakim di Malaysia?

Wali hakim adalah pengganti wali nasab dalam keadaan-keadaan tertentu. Antara sebab-sebab penggunaan wali hakim:

  • • Tiada wali nasab
  • • Wali nasab enggan (wali adhal)
  • • Wali nasab berada jauh
  • • Wali nasab hilang atau tidak dapat dikesan
  • • Wali nasab berada dalam tahanan

 

Siapa Wali bagi Anak Tak Sah Taraf?

Anak tak sah taraf tidak boleh dinikahkan oleh bapa biologinya kerana dia tidak dianggap wali yang sah menurut hukum syarak. Dalam kes ini, wali hakim yang diwakilkan oleh pihak berkuasa agama, seperti jabatan agama negeri, akan mewalikan pernikahan anak tak sah taraf.

 

Kesimpulan

Rukun nikah merupakan asas penting yang menentukan kesahihan sesuatu perkahwinan dalam Islam. Pemahaman yang mendalam tentang kelima-lima rukun ini amat penting untuk memastikan perkahwinan yang bakal dilangsungkan sah di sisi agama dan undang-undang.

Selain memastikan rukun nikah dipenuhi, pemilihan pakaian yang sesuai dan menepati syariat juga penting dalam majlis pernikahan. PP Signature menyediakan koleksi baju nikah yang bukan sahaja mematuhi syariat, malah turut mengikut trend semasa.

Tags :
Planning
Translation missing: en.general.search.loading