- Total RM0.00 MYR
16 Soalan Akad Nikah Yang Selalu Di Tanya Tok Kadi
Akad nikah merupakan perkara wajib yang ada dalam rukun nikah. Akan tetapi, upacara akad nikah juga merupakan perkara yang paling digeruni oleh kaum lelaki kerana sudah menjadi tradisi Tok Kadi akan menanyakan soalan-soalan tentang agama sebelum akad nikah dijalankan.
Untuk mengelakkan dari kegugupan semasa dalam majlis akad nikah, maka adalah lebih baik jika pihak lelaki membuat persiapan awal. Sekaligus, memudahkan pihak lelaki untuk menjawab soalan dengan tenang dan nampak lebih berani tanpa ada rasa gugup semasa majlis nikah nanti.
Ini adalah contoh beberapa soalan yang seringkali ditanyakan oleh Tok Kadi. Jadi, sebelum malu tak dapat menjawab soalan depan orang ramai, lebih baik bersedia dan baca ilmu tentang perkahwinan.
16 Soalan Akad Nikah Yang Selalu Di Tanya Tok Kadi
1. Rukun Islam
Setiap umat Islam wajib mengetahui apa itu rukun islam. Soalan tentang rukun Islam adalah soalan umum yang sering ditanya oleh Tok Kadi semasa upacara akad nikah.
Ini kerana, tanggungjawab menjadi seorang suami yang sah adalah membimbing isteri dengan ilmu agama selepas berkahwin. Sebagai muslim, wajib hukumnya untuk mengetahui dan memahami rukun Islam.
Di dalam rukun islam mempunyai lima perkara.
- Mengucap dua kalimah syahadah
- Solat lima waktu
- Berpuasa di bulan ramadhan
- Mengeluarkan zakat
- Menunaikan haji bagi yang berkemampuan
2. Rukun Iman
Selain dari rukun islam, soalan rukun iman juga antara soalan yang akan ditanya. Soalan-soalan asas ini memang tidak dapat dielakkan . Jadi pihak lelaki jangan lupa dan keliru antara rukun islam dan rukun iman.
Di dalam rukun iman ada enam perkara.
- Beriman kepada Allah
- Beriman kepada Malaikat
- Beriman kepada kitab
- Beriman kepada Rasul
- Beriman kepada Hari kiamat
- Beriman kepada Qada’ dan Qadar
3. Doa Qunut
Ada sesetengah orang yang kurang ilmu agama, kebiasaannya mereka akan keliru antara doa qunut dan doa iftitah. Jadi bagi seorang lelaki yang bernama suami yang akan menjadi imam, jangan pula terkeliru.
Allahhummah Dinii Fiiman Hadait
Wa ’Aa Finii Fiiman ‘Aafait
Watawal-Lanii Fiiman Tawal-laiit
Wabaariklii Fiimaa A’thait
Waqinii Syarramaa Qadhait
Fainnaka Taqdhii Walaa Yuqdho ‘Alaik
WainNahu Laa Yadzilu-man Walait
Walaa Ya’izzu-man ‘Aadait
Tabaa-rakta Rabbanaa Wata ’Aalait
Falakal-hamdu ‘Alaa Maa Qadhait
Astaghfiruka Wa ’AtuuBu ilaik
Wasallallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Nabiyyil Ummiyyi, Wa ’Alaa Aalihi Washahbihi Wasallam.
Tok Kadi akan bertanyakan doa qunut akan dibaca semasa waktu solat apa? Jangan pula menjawab pada setiap masa. Geleng kepala Tok Kadi nanti.
4. Bacaan Al-Fatihah
5. Dua Kalimah Syahadah
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلَّا الل
وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُالله
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah
6. Selawat Nabi
Allahumma Solli ‘Ala Muhammadin Wa ‘Ala Aali Muhammad
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Dari hadis An-Nasae’i: 1292, sahih.
7. Rukun Nikah
Untuk mendirikan rumah tangga bahagia, harmoni dan diberkati, sudah menjadi kewajiban setiap mempelai untuk mengetahui rukun nikah. Jika tidak lengkap rukun nikah ini, maka tidak sempurnalah upacara nikah tersebut.
Rukun nikah ada 5 perkara.
- Pengantin lelaki (Suami)
- Pengantin perempuan (Isteri)
- Wali
- Dua orang saksi lelaki
- Lafaz ijab dan Kabul (akad nikah)
8. Rukun Solat
Rukun solat merupakan perkara asas untuk melaksanakan ibadah solat. Setiap muslim wajib mendirikan solat lima waktu, kerana solat itu merupakan tiang agama. Jika solat tidak dijaga dengan sempurna, ia ibarat rumah yang tiada tiang, maka robohlah rumah itu.
Begitu juga dengan perkahwinan, pasangan yang kurang pengetahuan ilmu agama dalam berumah tangga pasti tidak aman dan akan menyulitkan hubungan dengan pasangan.
Rukun solat ada 13, antaranya adalah seperti berikut:
- Berdiri betul
- Niat
- Takbiratul Ihram
- Membaca Surah Al-Fatihah
- Rukuk
- Iktidal
- Sujud
- Duduk antara dua sujud
- Duduk tahiyat akhir
- Membaca tahiyat akhir
- Membaca selawat
- Memberi salam
- Tertib
9. Bacaan Surah Pendek
Surah pendek yang paling gemar ditanya Tok Kadi adalah Juz Amma. Juz Amma merupakan juzuk yang terakhir di dalam Al-Quran dan juga merupakan surah-surah pendek yang sering dibaca di dalam solat. Mudah sahaja surah dalam Juz Amma ini, pihak lelaki tidak perlu bimbang jika ditanya oleh Tok Kadi. Cuma bacaan itu biarlah jelas dan tajwid dibaca dengan betul.
Contoh beberapa surah Juz Amma adalah seperti:
- Surah An-Nas
- Surah Al-Falaq
- Surah Al-Ikhlas
- Surah Al-Kafirun
- Surah Al-Kausar
- Surah Ad-Dhuha
10. Tanggungjawab suami
Perkahwinan bukan hanya sekadar memberi kasih sayang dan kata-kata romantis seperti I Love You tetapi ianya merupakan satu tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh suami dan isteri. Sebaik sahaja akad nikah dilafazkan, seorang suami serta merta perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas wanita pilihannya iaitu isteri.
Apakah tanggungjawab sebagai suami ?
- Sebagai ketua keluarga, pelindung isteri dah anak-anak
- Mengawal, membimbing, berusaha mencari keperluan hidup keluarga seperti rumah kediaman, pakaian dan makan minum
- Mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama
11. Tanggungjawab Isteri
Isteri merupakan seorang perempuan yang menjadi pasangan hidup kepada seorang lelaki secara sah selepas ijab Kabul
Antara tanggungjawab yang perlu dititikberatkan oleh seseorang isteri selepas berkahwin adalah memenuhi hak-hak seorang suami. Apabila seorang isteri telah menjalankan tanggungjawab kepada suaminya dengan baik dan berusaha menjaga keharmonian rumah tangganya, sejurus itu isteri digelar wanita solehah.
Apakah tanggungjawab sebagai isteri ?
- Bergaul dengan suami secara baik.
- Mengendalikan kerja-kerja rumah
- Berhias untuk suami
- Taat kepada suami
- Menjaga kehormatan dan nama suami
12. Perkara-perkara yang menyebabkan hadas besar
Hadas besar merupakan perkara yang mewajibkan kita untuk mandi wajib agar solat kita sah dan diterima.
Apabila kita telah melakukan hadas besar, maka kita perlu mandi wajib dengan segera terutamanya jika mahu beribadah.
Antara perkara-perkara yang menyebabkan hadas besar adalah seperti berikut:
- Keluar air mani
- Keluar darah haid
- Nifas
- Bersetubuh
- Wiladah
- Mati selain mati syahid
13. Larangan Ketika Berhadas Besar
Ketika masih berhadas besar, kita dilarang untuk melakukan perkara seperti :
- Solat
- Menyentuh Al-Quran
- Berpuasa
- Iktikaf di masjid
- Tawaf
14. Lafaz Niat Mandi Hadas
Nawaitu Raf ‘al Hadasil Akbari Lillahi Ta’ala.
Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala
15. Rukun Wudhu
Wudhuk merupakan perbuatan menggunakan air pada anggota badan tertentu beserta dengan niat. Ia merupakan perkara yang pertama sebelum menunaikan solat. Tanpa berwudhuk, maka solat menjadi tidak sah.
Rukun wudhuk ada enam:
- Niat
- Membasuh muka
- Membasuh dua belah tangan sehingga ke siku
- Menyapu kepala
- Membasuh dua belah kaki sehingga ke buku lali
- Tertib
16. Perkara Yang Membatalkan Wudhu
Wuduk akan terbatal dengan lima perkara:
- Semua yang keluar dari qubul dan dubur seperti kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
- Tidur yang tidak tetap
- Hilang akal disebabkan mabuk, pitam, sakit atau gila
- Seorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik
- Menyentuh kemaluan manusia, qubul dan dubur samada diri sendiri atau orang lain dengan tapak tangan atau jari-jari tanpa berlapik
KESIMPULAN
Diharap senarai soalan-soalan favourite Tok Kadi di atas dapat memberi idea kepada bakal suami untuk membuat persediaan. Manalah tahu jika ditanya oleh Tok Kadi. Bukan semua Tok Kadi akan tanya soalan-soalan agama sebelum akad nikah.
Jika anda bernasib baik semasa hari kejadian, anda berkemungkinan tidak akan ditanya apa-apa. Kebanyakan Tok Kadi akan bertanyakan soalan-soalan agama yang mudah demi menjaga air muka pengantin lelaki.
Kepada bakal suami, anggaplah persediaan untuk menjawab soalan-soalan Tok Kadi ini sebagai persediaan untuk membimbing keluarga di kemudian hari. Diucapkan tahniah kepada bakal mempelai yang ingin mendirikan rumah tangga. Semoga urusan pernikahan anda dipermudahkan dan mendapat rumah tangga yang sakinah, mawaddah warahmah dari Allah S.W.T.
Sumber: pengantinbaru